Sunday, 17 April 2016

JOM BAWA BENTO

Salah satu memori alam persekolahan adalah membawa bekal dari rumah. Makanan yang dibawa kebiasaannya cukup ringkas seperti nasi goreng, roti, dan kuih-muih. Makanan ini tidak dihias dan cukup untuk mengisi perut sehingga tamat sesi persekolahan. Kini, tidak lagi. Trend bento menyebabkan bekal makanan dihias dengan dekorasi yang sangat menarik dan kreatif. 

Apa itu bento?
Bento atau obento dalam bahasa Jepun merujuk kepada makanan bekal dan lauk-pauk yang diletak secara padat didalam bekas.Bento dikatakan berasal daripada Jepun sejak abad ke-15. Kebiasaanya bento mengandungi dua atau lebih pembahagi yang membolehkan pelbagai jenis makanan diletakkan secara berasingan.Bento sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Jepun. Selain sebagai bekal ke sekolah, masyarakat Jepun juga gemar membawa bento ke tempat kerja. Di Jepun, bento boleh didapati secara meluas di pasar raya, kedai runcit, stesen kereta api dan restoran. Terdapat juga kedai yang khusus menjual bento sahaja di Jepun. Menarik bukan?

Tipikal bento di Jepun. Bento secara tradisinya mengandungi
nasi, ikan atau daging, dan sayur.

Fenomena bento versi "kyara-ben" dan "oekakiben" 

Bento pada asalnya hanyalah bekal biasa yang kemudiannya telah diubahsuai menjadi pelbagai versi. Bento yang mendapat perhatian dan menjadi fenomena di banyak negara termasuk Malaysia ialah bento versi "kyara-ben" dan "oekakiben". "Kyara-ben" ialah versi unik bento dimana makanan akan digubah dan dihias seperti watak-watak dalam kartun, komik, dan permainan video. Selain "kyara-ben", gaya yang popular ialah "oekakiben", iaitu makanan akan didekorasi menyerupai orang, haiwan, bangunan, dan tumbuh-tumbuhan. Telur rebus misalnya akan diukir menjadi bentuk arnab dan kucing, serta sandwich yang dibentuk menyerupai bunga. 

Dekorasi yang kreatif ini meyebabkan kanak-kanak suka membawa bekal ke sekolah. Sayur-sayuran dan buah-buahan digubah menjadi bentuk yang comel  akan dapat menarik perhatian kanak-kanak untuk makan. Hal ini dapat menggalakkan amalan pemakanan yang sihat dalam kalangan kanak-kanak. Oleh itu tidak hairanlah ibu bapa sanggup bangun awal pagi untuk menyediakan bento sebagai bekalan anak-anak ke sekolah. Hal ini demi memastikan anak-anak mereka mendapat nutrisi yang secukupnya.

Di Malaysia,pelbagai kelab telah ditubuhkan oleh peminat bento melalui Facebook. Penubuhan kelab ini membolehkan sesiapa sahaja berkongsi idea tentang menu dan dekorasi bento.Selain itu, sudah ada pelbagai jenis blog dan laman web berkaitan bento diwujudkan. Ada juga yang mengambil inisiatif dengan membuka perniagaan berasaskan bento.



Bento ini menggunakan watak Winne The Pooh. Bento yang comel ini  boleh dibeli secara online melalui
Facebook 
 Nyaaan-Bento. Lokasi perniagaan adalah di Kota Kinabalu, Sabah.

Trend bento ini dapat memupuk amalan membawa bekal dari rumah. Selain menjimatkan wang, kita juga dapat memastikan kebersihan makanan. Penggunaan bento juga membantu untuk mengurangkan penggunaan kertas dan plastik. 

Cara penyediaan bento mudah sahaja. Peralatan bento boleh didapati di Daiso dan Mr DIY.Apa kata hujung minggu ini anda cuba membuat bento pula mengikut kreativiti sendiri. Jom bawa bento!






Monday, 4 April 2016

KEMELUT BURUH KANAK-KANAK

Ceria. Kanak-kanak Nepal, Sanju  berjaya
diselamatkan daripada terus menjadi
buruh di kilang karpet.
Sanju merupakan antara buruh kanak-kanak yang bekerja di kilang karpet  di Kathmandu, Nepal. Seperti ribuan “kanak-kanak karpet” di Asia Selatan, Sanju dieksploitasi kerana memiliki jari yang kecil dan lincah yang dianggap sesuai untuk memintal karpet. Walaubagaimanapun, dia tidak menerima bayaran hasil kerja kerasnya ini. Namun, Sanju cerah apabila dia dijumpai oleh Good Weave, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan nasib buruh kanak-kanak. Sanju kemudiannya dibawa ke Hamro Ghar, sebuah pusat perlindungan di Kathamandu.

Tuah yang menimpa Sanju merupakan sebahagian kecil daripada kemelut buruh kanak-kanak. Realitinya pada hari ini berjuta kanak-kanak terpaksa menjadi buruh. Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), terdapat 168 juta buruh kanak-kanak yang berusia antara lima dan 17 tahun di seluruh dunia. Populasi ini adalah sebanyak populasi rakyat di negara United Kingdom, Argentina, Canada, dan Malaysia apabila digabungkan.

Peningkatan buruh kanak-kanak di Gaza

Menurut ILO, bilangan buruh kanak-kanak telah menurun sejak tahun 2000, daripada 246 juta kepada 168 juta. Namun berlainan pula di Gaza apabila buruh kanak-kanak di bandar yang bergolak itu telah meningkat secara mendadak. 

Kebanyakan kanak-kanak Gaza bekerja di tempat pembinaan dan bengkel. Ada juga yang menjual makanan. Situasi ini dianggap perkara biasa di bandar yang sering terlibat dalam kancah peperangan ini. Menurut Biro Pusat Statistik Palestin (PCBS), jumlah buruh kanak-kanak di wilayah ini telah meningkat sebanyak 9, 700, iaitu dua kali ganda sejak lima tahun yang lepas. 




Kanak-kanak Palestin, Mohammad Dader, 12, kini bekerja sebagai mekanik di bandar Gaza,
 kelihatan sibuk membantu majikannya di bengkel. 17 March , 2016.
SUMBER: REUTERS/MOHAMMED SALEM

Kanak-kanak Palestin, Haitham Khzaiq, 16, yang baru sahaja berhenti sekolah
enam bulan yang lalu, sedang menjual gula-gula di bandar Gaza, 17 March, 2016.
Sumber: REUTERS/MOHAMMED SALEM



Realiti buruh kanak-kanak

Selain Gaza, buruh kanak-kanak  paling ramai adalah di Eritrea, Somalia, Congo, Myanmar, Sudan, Afghanistan, Pakistan, Zimbabwe, Yemen, dan Nigeria. Ranking ini adalah berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh firma analisis, Maplecroft. 

Buruh kanak-kanak ini bekerja dalam pelbagai sektor. Menurut ILO, majoriti kanak-kanak bekerja dalam sektor agrikultur, misalnya di ladang kapas di Mesir dan teh di Bangladesh. Di samping itu, terdapat juga kanak-kanak yang berkerja dalam sektor perindustrian seperti bidang pembuatan dan pembinaan. 
Kanak-kanak Afghanistan, Abdul Wahab kini bekerja sebagai tukang besi di Kabul.
 SUMBER: REUTERS/OMAR SOBHANI


Kebanyakan buruh kanak-kanak ini bekerja di kawasan yang berbahaya dan berisiko tinggi. Kanak-kanak seawal usia enam tahun sudah dilatih untuk mengangkat batu bata dan simen. Kanak-kanak tidak sesuai bekerja dalam keadaan sedemikian kerana mereka terdedah kepada kecederaan. Selain itu, kanak-kanak yang bekerja dalam sektor agrikultur harus berdepan dengan racun serangga yang merupakan salah satu punca utama kematian buruh kanak-kanak.

Buruh kanak-kanak juga mengalami masalah pertumbuhan seperti menjadi rendah dan ringan berbanding kanak-kanak lain. Mereka juga mengalami keletihan melampau akibat bekerja dalam tempoh  masa yang panjang ditambah dalam keadaan yang tidak sesuai selain tidak cukup makan.

Kemiskinan merupakan punca utama berlakunya buruh kanak-kanak. Ahli keluarga terpaksa bergantung kepada kanak-kanak ini untuk mendapatkan keperluan asas. Selain itu, pendidikan juga turut menyumbang kepada masalah ini. Di kebanyakan negara, pendidikan bukannya percuma. Kesannya, ibu bapa mendapati tiada gunanya mereka menghantar anak-anak ke sekolah. Mereka berpendapat kanak-kanak ini seharusnya bekerja supaya dapat menampung perbelanjaan keluarga.

Menjadi buruh di usia yang sangat muda cukup perit. Mereka bukan sahaja didera dari segi mental dan fizikal tetapi turut dihalang mendapat akses kepada pendidikan. Pendidikan merupakan salah satu cara untuk kanak-kanak ini keluar dari kepompong kemiskinan. Apa yang lebih menyedihkan ialah zaman kanak-kanak mereka telah dirampas.Oleh itu, sebarang bentuk penindasan terhadap  kanak-kanak harus dihentikan.

Untuk makluman, Hari Buruh Kanak-kanak Sedunia diadakan pada 12 Jun setiap tahun. Tujuan utama Hari Buruh Kanak-Kanak Sedunia adalah untuk meningkatkan kesedaran dan mempelbagaikan usaha mencegah buruh kanak-kanak. Kanak-kanak adalah masa depan kita.

Tip beli produk:
Apabila anda membeli produk, beli yang tidak menggunakan sumber buruh kanak-kanak. Oleh itu, pilih produk yang mempunyai label atau sijil seperti Fair Trade, GoodWeave, Rainforest Alliance, dan lain-lain yang diiktiraf kerajaan.






Saturday, 2 April 2016

TREND MAKANAN TAMBAHAN



Tahap kesedaran yang tinggi masyarakat Malaysia pada hari ini terhadap kesihatan menyebabkan makanan tambahan menjadi pilihan. Kesibukan bekerja menyebabkan sesetengah individu tidak mempunyai masa untuk menyediakan makananan yang seimbang dan bernutrisi tingggi. Oleh itu, makanan tambahan menjadi alternatif untuk mendapatan nutrisi yang diperlukan badan.

Menurut  Food and Drug Administration (FDA), makanan tambahan atau suplemen merupakan produk yang mengandungi vitamin, mineral, herba, atau amino acid. Makanan tambahan boleh didapati dalam bentuk pil, kapsul, gel, cecair, atau serbuk. Fungsi utama makanan tambahan adalah untuk memastikan pengguna mendapat nutrisi yang mencukupi. Selain itu, makanan tambahan juga dapat mengurangkan risiko penyakit.

Trend gaya hidup sihat ini memberi peluang kepada usahawan-usahawan tempatan untuk membangunkan produk makanan tambahan mereka sendiri. Pelbagai jenis tumbuhan seperti buah-buahan dan herba dikormesialkan untuk dijadikan produk makanan tambahan. 

Boleh dikatakan iklan makanan tambahan di Malaysia semakin rancak dan kompetitif. Ada sahaja iklan makanan tambahan disiarkan di televisyen, radio, majalah, dan surat khabar. Kemajuan teknologi menyebabkan produk makanan tambahan turut dipromosi melalui media sosial seperti Facebook, Twitter, dan Instagram. Persaingan sengit ini menyebabkan pelbagai teknik pemasaran digunakan untuk menarik perhatian pembeli.

Produk makanan tambahan sering menggunakan
iklan berbentuk testimoni 
Teknik pemasaran yang menjadi ikutan pengusaha tempatan ialah testimoni. Antaranya dengan menggunakan testimoni lakonan semula. Teknik lakonan semula ini menggunakan individu biasa yang akan menceritakan pengalaman mereka  menggunakan produk tersebut.  Ada juga testimoni yang menggunakan  media sosial. Iklan pelangsingan badan, kencing manis, diabetes, dan menguatkan tenaga batin selalu menggunakan teknik pemasaran testimoni. Ada juga testimoni yang dikatakan mampu untuk merawat penyakit kanser.

Namun, apa yang membimbangkan ialah sejauh mana kesahihan testimoni-testimoni ini? Adakah produk yang diiklankan itu mematuhi piwaian yang ditetapkan? Pesakit yang kurang pendedahan dan kurang maklumat mungkin akan terpengaruh dengan mesej iklan ini. Ada yang berhenti mengambil ubat dan tidak mahu menerima rawatan susulan kerana terpengaruh dengan iklan.
Testimoni yang didakwa mampu merawat kanser

Pesakit mungkin tertipu dengan produk makanan tambahan yang menggunakan testimoni yang hebat dan melampau. Ada kala pesakit terlupa bahawa setiap produk itu perlu  menjalani beberapa ujian kimia dan ujian klinikal bagi memastikan produk tersebut selamat. Produk tersebut juga perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dipasarkan di Malaysia. 

Pengambilan makanan tambahan tidak boleh diambil dengan sewenang-wenangnya terutama bagi mereka yang menghidapi penyakit kronik.  Mereka perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu kerana dikhuatiri akan mendapat kesan sampingan. Selain itu, sesetengah makanan tambahan juga mungkin memberi tindak balas yang negatif dengan ubat yang dibekalkan doktor.

Oleh itu, kita perlulah mengambil langkah berhati-hati ketika memilih produk makanan tambahan yang sesuai. Penulis menasihatkan anda agar memilih produk yang mempunyai kandungan semula jadi dan bebas bahan kimia. Perlu dingatkan bahawa makanan tambahan bukannya ubat. Makanan tambahan tidak menyembuhkan penyakit tetapi berfungsi untuk mengekalkan kesihatan. 

Untuk memastikan anda menggunakan produk makanan tambahan yang diperakui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, anda boleh menyemak di sini  http://bpfk.moh.gov.my/quest/search_result.php?searchtxt