Monday, 4 April 2016

KEMELUT BURUH KANAK-KANAK

Ceria. Kanak-kanak Nepal, Sanju  berjaya
diselamatkan daripada terus menjadi
buruh di kilang karpet.
Sanju merupakan antara buruh kanak-kanak yang bekerja di kilang karpet  di Kathmandu, Nepal. Seperti ribuan “kanak-kanak karpet” di Asia Selatan, Sanju dieksploitasi kerana memiliki jari yang kecil dan lincah yang dianggap sesuai untuk memintal karpet. Walaubagaimanapun, dia tidak menerima bayaran hasil kerja kerasnya ini. Namun, Sanju cerah apabila dia dijumpai oleh Good Weave, sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan nasib buruh kanak-kanak. Sanju kemudiannya dibawa ke Hamro Ghar, sebuah pusat perlindungan di Kathamandu.

Tuah yang menimpa Sanju merupakan sebahagian kecil daripada kemelut buruh kanak-kanak. Realitinya pada hari ini berjuta kanak-kanak terpaksa menjadi buruh. Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), terdapat 168 juta buruh kanak-kanak yang berusia antara lima dan 17 tahun di seluruh dunia. Populasi ini adalah sebanyak populasi rakyat di negara United Kingdom, Argentina, Canada, dan Malaysia apabila digabungkan.

Peningkatan buruh kanak-kanak di Gaza

Menurut ILO, bilangan buruh kanak-kanak telah menurun sejak tahun 2000, daripada 246 juta kepada 168 juta. Namun berlainan pula di Gaza apabila buruh kanak-kanak di bandar yang bergolak itu telah meningkat secara mendadak. 

Kebanyakan kanak-kanak Gaza bekerja di tempat pembinaan dan bengkel. Ada juga yang menjual makanan. Situasi ini dianggap perkara biasa di bandar yang sering terlibat dalam kancah peperangan ini. Menurut Biro Pusat Statistik Palestin (PCBS), jumlah buruh kanak-kanak di wilayah ini telah meningkat sebanyak 9, 700, iaitu dua kali ganda sejak lima tahun yang lepas. 




Kanak-kanak Palestin, Mohammad Dader, 12, kini bekerja sebagai mekanik di bandar Gaza,
 kelihatan sibuk membantu majikannya di bengkel. 17 March , 2016.
SUMBER: REUTERS/MOHAMMED SALEM

Kanak-kanak Palestin, Haitham Khzaiq, 16, yang baru sahaja berhenti sekolah
enam bulan yang lalu, sedang menjual gula-gula di bandar Gaza, 17 March, 2016.
Sumber: REUTERS/MOHAMMED SALEM



Realiti buruh kanak-kanak

Selain Gaza, buruh kanak-kanak  paling ramai adalah di Eritrea, Somalia, Congo, Myanmar, Sudan, Afghanistan, Pakistan, Zimbabwe, Yemen, dan Nigeria. Ranking ini adalah berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh firma analisis, Maplecroft. 

Buruh kanak-kanak ini bekerja dalam pelbagai sektor. Menurut ILO, majoriti kanak-kanak bekerja dalam sektor agrikultur, misalnya di ladang kapas di Mesir dan teh di Bangladesh. Di samping itu, terdapat juga kanak-kanak yang berkerja dalam sektor perindustrian seperti bidang pembuatan dan pembinaan. 
Kanak-kanak Afghanistan, Abdul Wahab kini bekerja sebagai tukang besi di Kabul.
 SUMBER: REUTERS/OMAR SOBHANI


Kebanyakan buruh kanak-kanak ini bekerja di kawasan yang berbahaya dan berisiko tinggi. Kanak-kanak seawal usia enam tahun sudah dilatih untuk mengangkat batu bata dan simen. Kanak-kanak tidak sesuai bekerja dalam keadaan sedemikian kerana mereka terdedah kepada kecederaan. Selain itu, kanak-kanak yang bekerja dalam sektor agrikultur harus berdepan dengan racun serangga yang merupakan salah satu punca utama kematian buruh kanak-kanak.

Buruh kanak-kanak juga mengalami masalah pertumbuhan seperti menjadi rendah dan ringan berbanding kanak-kanak lain. Mereka juga mengalami keletihan melampau akibat bekerja dalam tempoh  masa yang panjang ditambah dalam keadaan yang tidak sesuai selain tidak cukup makan.

Kemiskinan merupakan punca utama berlakunya buruh kanak-kanak. Ahli keluarga terpaksa bergantung kepada kanak-kanak ini untuk mendapatkan keperluan asas. Selain itu, pendidikan juga turut menyumbang kepada masalah ini. Di kebanyakan negara, pendidikan bukannya percuma. Kesannya, ibu bapa mendapati tiada gunanya mereka menghantar anak-anak ke sekolah. Mereka berpendapat kanak-kanak ini seharusnya bekerja supaya dapat menampung perbelanjaan keluarga.

Menjadi buruh di usia yang sangat muda cukup perit. Mereka bukan sahaja didera dari segi mental dan fizikal tetapi turut dihalang mendapat akses kepada pendidikan. Pendidikan merupakan salah satu cara untuk kanak-kanak ini keluar dari kepompong kemiskinan. Apa yang lebih menyedihkan ialah zaman kanak-kanak mereka telah dirampas.Oleh itu, sebarang bentuk penindasan terhadap  kanak-kanak harus dihentikan.

Untuk makluman, Hari Buruh Kanak-kanak Sedunia diadakan pada 12 Jun setiap tahun. Tujuan utama Hari Buruh Kanak-Kanak Sedunia adalah untuk meningkatkan kesedaran dan mempelbagaikan usaha mencegah buruh kanak-kanak. Kanak-kanak adalah masa depan kita.

Tip beli produk:
Apabila anda membeli produk, beli yang tidak menggunakan sumber buruh kanak-kanak. Oleh itu, pilih produk yang mempunyai label atau sijil seperti Fair Trade, GoodWeave, Rainforest Alliance, dan lain-lain yang diiktiraf kerajaan.






No comments:

Post a Comment