Sunday, 17 April 2016

JOM BAWA BENTO

Salah satu memori alam persekolahan adalah membawa bekal dari rumah. Makanan yang dibawa kebiasaannya cukup ringkas seperti nasi goreng, roti, dan kuih-muih. Makanan ini tidak dihias dan cukup untuk mengisi perut sehingga tamat sesi persekolahan. Kini, tidak lagi. Trend bento menyebabkan bekal makanan dihias dengan dekorasi yang sangat menarik dan kreatif. 

Apa itu bento?
Bento atau obento dalam bahasa Jepun merujuk kepada makanan bekal dan lauk-pauk yang diletak secara padat didalam bekas.Bento dikatakan berasal daripada Jepun sejak abad ke-15. Kebiasaanya bento mengandungi dua atau lebih pembahagi yang membolehkan pelbagai jenis makanan diletakkan secara berasingan.Bento sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Jepun. Selain sebagai bekal ke sekolah, masyarakat Jepun juga gemar membawa bento ke tempat kerja. Di Jepun, bento boleh didapati secara meluas di pasar raya, kedai runcit, stesen kereta api dan restoran. Terdapat juga kedai yang khusus menjual bento sahaja di Jepun. Menarik bukan?

Tipikal bento di Jepun. Bento secara tradisinya mengandungi
nasi, ikan atau daging, dan sayur.

Fenomena bento versi "kyara-ben" dan "oekakiben" 

Bento pada asalnya hanyalah bekal biasa yang kemudiannya telah diubahsuai menjadi pelbagai versi. Bento yang mendapat perhatian dan menjadi fenomena di banyak negara termasuk Malaysia ialah bento versi "kyara-ben" dan "oekakiben". "Kyara-ben" ialah versi unik bento dimana makanan akan digubah dan dihias seperti watak-watak dalam kartun, komik, dan permainan video. Selain "kyara-ben", gaya yang popular ialah "oekakiben", iaitu makanan akan didekorasi menyerupai orang, haiwan, bangunan, dan tumbuh-tumbuhan. Telur rebus misalnya akan diukir menjadi bentuk arnab dan kucing, serta sandwich yang dibentuk menyerupai bunga. 

Dekorasi yang kreatif ini meyebabkan kanak-kanak suka membawa bekal ke sekolah. Sayur-sayuran dan buah-buahan digubah menjadi bentuk yang comel  akan dapat menarik perhatian kanak-kanak untuk makan. Hal ini dapat menggalakkan amalan pemakanan yang sihat dalam kalangan kanak-kanak. Oleh itu tidak hairanlah ibu bapa sanggup bangun awal pagi untuk menyediakan bento sebagai bekalan anak-anak ke sekolah. Hal ini demi memastikan anak-anak mereka mendapat nutrisi yang secukupnya.

Di Malaysia,pelbagai kelab telah ditubuhkan oleh peminat bento melalui Facebook. Penubuhan kelab ini membolehkan sesiapa sahaja berkongsi idea tentang menu dan dekorasi bento.Selain itu, sudah ada pelbagai jenis blog dan laman web berkaitan bento diwujudkan. Ada juga yang mengambil inisiatif dengan membuka perniagaan berasaskan bento.



Bento ini menggunakan watak Winne The Pooh. Bento yang comel ini  boleh dibeli secara online melalui
Facebook 
 Nyaaan-Bento. Lokasi perniagaan adalah di Kota Kinabalu, Sabah.

Trend bento ini dapat memupuk amalan membawa bekal dari rumah. Selain menjimatkan wang, kita juga dapat memastikan kebersihan makanan. Penggunaan bento juga membantu untuk mengurangkan penggunaan kertas dan plastik. 

Cara penyediaan bento mudah sahaja. Peralatan bento boleh didapati di Daiso dan Mr DIY.Apa kata hujung minggu ini anda cuba membuat bento pula mengikut kreativiti sendiri. Jom bawa bento!






No comments:

Post a Comment